









KOTA BHARU 22 Mac - Suatu ketika radio pernah dibayangkan akan melalui zaman malap, namun setelah masa beredar ternyata ia masih mendapat tempat sebagai medium hiburan dan maklumat. Selain milik kerajaan, wujud puluhan stesen radio swasta berorientasikan keuntungan, sementara banyak lagi menunggu kelulusan untuk beroperasi yang memberikan banyak pula pilihan kepada pendengar.
Ukuran populariti kini ditentukan melalui rating jumlah pendengar yang menjadi asas bagi menarik sebanyak mungkin pengiklan melaburkan wang mereka.
Justeru pendekatan paling mudah dalam menghadapi persaingan yang sengit ini, stesen penyiaran milik syarikat gergasi mengambil selebriti sebagai penyiar.
Mereka turut mempromosi berterusan melalui media cetak dan elektronik, gerakan melalui pentas hiburan dan pada masa yang sama menganjurkan peraduan mudah dengan ganjaran wang tunai yang besar kepada pendengar.
Tersepit di tengah-tengah persaingan ini ialah sebuah stesen radio swasta tunggal di Pantai Timur yang beroperasi di sini iaitu Manis FM yang menjangkau usia 10 tahun.
Manis FM yang awalnya terbatas liputan siarannya di Kelantan terus bertahan menjadi salah satu stesen pilihan yang menjadi sumber hiburan dan maklumat di kalangan pendengar di Pantai Timur.
Bersandarkan tagline 'Pilihan Terunggul di Pantai Timur', pendengarnya kini dikatakan mencecah rating 1.2 juta apabila diperluaskan liputannya ke Terengganu dan Pahang sejak beberapa tahun lalu.
Pengarah Urusannya, Tan Sri Hussein Ahmad memberitahu, perkongsian saluran radio mampu mendekatkan tiga identiti masyarakat di sebelah Pantai Timur.
''Dari segi loghat bahasa, budaya, adat dan cita rasa, tiga negeri ini lebih rapat dan apabila disatukan dalam sebuah stesen radio, gandingannya menjadi mantap dan mempunyai keserasian.
''Mungkin persamaan tersebut yang membantu saluran ini terus bertahan di celah-celah stesen radio swasta yang lain sejak kewujudannya lebih 10 tahun yang lalu," ujarnya ketika ditemui di pejabatnya di sini baru-baru ini.
Sebagai veteran UMNO, Hussein mengaku mewujudkan Manis FM atas rasa kasih dan semangat setia kawan dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
''Hubungan yang rapat dalam parti mendorong saya menghulurkan bantuan kepada Dr. Mahathir melalui kemampuan yang ada untuk menjadi sebahagian telinga kepada pimpinan negara, lantas saya jadikan Manis FM medium antara pendengar dengan perkhidmatan agensi kerajaan.
''Komunikasi dua hala menerusi segmen yang diperkenalkan iaitu berkaitan dengan aduan rakyat menghidupkan Manis FM pada awal kemunculan kerana si pemanggil mendapat maklum balas dengan pantas daripada agensi kerajaan di studio rakaman kerana disiarkan secara langsung," ujarnya.
Ketika itu, katanya, stesen radio tersebut menyasarkan warga petani dan penduduk kampung dengan memperoleh maklumat berhubung bantuan yang ditawarkan oleh kerajaan seperti subsidi baja, racun dan anak benih pokok, misalnya menerusi Jabatan Pertanian dan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA).
Mengimbas sejarah sekitar awal tahun 90-an, Dr. Mahathir, katanya, kurang disenangi masyarakat di selatan Thailand atas insiden salah faham dan sebagai sahabat karib, beliau berusaha menjernihkan keadaan.
''Peluang mengembalikan semula nama Tun di sana saya peroleh ketika berlaku kejadian 13 nelayan Thailand ditahan di Malaysia. Pada 5 November 1990, sempena hari keputeraan Raja Siam, kesemua mereka dibebaskan.
''Berita pembebasan saya umumkan di konti pada sebelah pagi dan menjelang pukul 2 petang, jambatan Golok dipenuhi ribuan rakyat dari selatan Thailand sambil berteriak 'Hidup Mahathir, Hidup Mahathir!'," ujarnya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Selepas hampir 11 tahun Manis FM beroperasi, Hussein mengaku segmen yang disiarkan hari ini telah menjalani perubahan untuk disesuaikan dengan tarikan pelbagai pendengar.
Mengakui saingan sengit dengan saluran stesen lain yang kini berlumba-lumba menyiarkan pelbagai segmen untuk mengaut keuntungan melalui iklan, Manis FM, katanya, berpuas hati dengan apa yang ditawar dan diperoleh.
''Sebagai radio swasta yang turut mempunyai tanggungjawab sosialnya, Manis FM akan meneruskan khidmat kepada masyarakat di Pantai Timur di samping menyelitkan hiburan," katanya.
Walaupun terpaksa menanggung sebahagian besar perbelanjaan operasi Manis FM sehingga ada kalanya mencecah RM100,000 sebulan, beliau tetap puas kerana dapat menyumbang sesuatu kepada masyarakat.
Sementara itu penerbit Manis FM, Khairulnizam Mohd. Ariffin berkata, stesen radio tersebut berjaya menawan pendengar dengan berusaha memenuhi selera pelbagai peringkat usia.
''Ada sajian lagu-lagu pilihan kontemporari dan terkini, di samping lagu-lagu retro dan yang sudah dianggap klasik.
''Carta retro, segmen dangdut dan Bollywood antara yang menarik pendengar kerana mereka turut berpeluang menyampaikan lagu tersebut kepada sesiapa sahaja.
''Kekerapan lagu juga dielakkan dan maksimum tiga kali sahaja diputarkan lagu yang sama kerana dalam tempoh sehari sebanyak 250 hingga 300 buah lagu dimainkan.
"Maklum balas yang diterima, pendengar memilih Manis FM kerana kebanyakan segmen bebas iklan dan cara penyampaian yang bersahaja," ujarnya.
Mendekati khalayak, katanya, Manis FM menggunakan khidmat skuad yang sesekali bersiaran dari luar.
''Mungkin tidak banyak publisiti tetapi daripada maklum balas yang diterima, rata-rata menyukai stesen ini kerana tidak serabut dan 'huru-hara' seperti sesetengah radio popular," katanya.